Apr 3, 2010

Apabila ianya bersama kesungguhan


Alhamdulillah. Itu saja yang terungkapkan hari ini. Kegembiraan yang dimiliki hari ini adalah hadiah yang bermakna dari Allah. Hadiah sebelum saya menyudahkan praktikum di SK Simpang Empat. Alhamdulillah.

Bersama anak-anak SKSE, kami bertawakal berjuang untuk beberapa pertandingan yang diadakan sempena Konvensyen Dr Muda Peringkat Negeri Perlis.

Saya sendiri cukup berdebar, apatah lagi setelah berhempas pulas melatih pasukan sketsa sendirian. Hanya 2 hari sebelum pertandingan, saya dibantu oleh Vanita dan Ainun.


[Motivasi: Mengenang sebelum-sebelumnya]

Dalam kesibukan sempena keberangkatan Raja Muda Perlis dan pemantauan beberapa kali pensyarah, saya masih bersemangat meneruskan latihan pada setiap petang.

Hanya seminggu masa latihan yang kami peruntukkan. Dalam melayan kenakalan anak-anak ini, saya hampir menangis menyatakan harapan. Saya mahukan yang terbaik. Sempat saya bertanyakan kemahuan dan keyakinan meraka. Hampir 95% yakin boleh berjaya, dan dengan itulah semangat yang kami bekalkan untuk bertanding.

Props saya memang 'agak kampung'. Nampak biasa aja, cuma saya cuba memahami betul-betul "apa itu sketsa". Skrip yang saya bikin pun memang ringkas, tapi banyak humor. Apabila Pn Norma luluskan skrip sebanyak 5 babak itu, kami bekerja dengan sedayanya.

Setiap hari itulah, saya pulang petang. Berhujan. Namun, itulah harga yang perlu diterima untuk menemui kejayaan. Hari terakhir persiapan, saya sampai di rumah jam 7 malam. Aduhai, saya tak tersangka semangat ini membawa saya ke tahap ini.

------------------------

Sebelum bertolak menaiki bas, saya memberi kata-kata akhir kepada semua peserta. Apa yang penting ialah tawakal kami setelah berusaha.

Apabila tiba di SMK Putra, saya lihat hanya 5 sekolah yang bertanding untuk sketsa. Ada sedikit lega di hati. Namun, bila melihat props mereka yang bukan main hebat, saya terkesima.

Apa pun, saya masih kuat. Saya tahu, setiap perkara itu, pasti punyai kekuatan. Begitu juga dengan anak didik saya. Mereka berlakon dengan sangat baik. Dan, saat itulah saya katakan "tak apa jika kamu tak menang sebarang tempat, kamu dah menang di hati cikgu"


Keputusan memang saya tak jangka. Malah, beberapa keputusan lain amat mengejutkan. Jika sebelum ini kami hanya peroleh 2 kemenangan, tahun ini sebaliknya:-

No 1 - Sketsa
No 1 - Pameran Dr Muda
No 2 - Buku skrap/informasi
No 3 - Bercerita Bahasa Melayu

dan juga Anugerah Sekolah Cemerlang Dr Muda.

Ya Allah! Saya menangis. Guru pelatih ini dapat membawa sebuah hadiah yang saya pasti amat bermakna. Inilah hadiah yang amat bernilai sepanjang tempoh praktikum ini.

Anak-anak saya gembira sakan. Semuanya saling ucap tahniah dan satu ayat yang paling saya ingat..

"Kita menang sebab cikgu marah hari-hari"

"Haha, macam mana tak marah. Kamu nakal"

Dan, cahaya itu membawa bahagia. Cikgu Azian sayang SKSE :) Misi tercapai. SKSE akan mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan bulan 6 ini. Thank You Allah, alhamdulillah :)

No comments: